Contoh Surat Rasmi Kepada Guru Besar

Contoh Surat Rasmi Kepada Guru Besar – Ini adalah antara bentuk komunikasi bertulis yang digunakan oleh murid, ibu bapa, atau wakil organisasi untuk menyampaikan permohonan, makluman atau jemputan secara rasmi kepada pihak sekolah, khususnya kepada guru besar. Surat rasmi ini penting bagi memastikan sebarang urusan dilakukan secara teratur dan profesional.

Kandungan surat rasmi haruslah ringkas, padat dan jelas serta mengikut format yang betul. Dalam artikel ini, disediakan dua contoh surat rasmi yang ditujukan kepada guru besar, yang boleh dijadikan rujukan oleh murid, ibu bapa atau mana-mana pihak berkepentingan.


Surat Rasmi Kepada Guru Besar

Contoh 1: Permohonan Mengadakan Program Kelab di Sekolah

KELAB DUTA RIMBA
Kuarter Pendidikan Guru, Blok C-4-3
Jalan Atinahappan, Taman Tun Dr Ismail
60000 Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
H/P: 016-3333534
Website: www.jungleambassador.org
Email: jungleambassador@outlook.com

Rujukan Tuan: JAKL 200-/1/19 (179)
Tarikh: 10 APRIL 2025

Kepada,
Guru Besar
Sekolah Kebangsaan Seri Budi
Jalan Budi Mulia
50480 Kuala Lumpur.

Tuan,
PERMOHONAN PENGANJURAN PROGRAM KELAB DUTA RIMBA BERSAMA MURID SEKOLAH

Dengan segala hormatnya perkara di atas adalah dirujuk.

  1. Sukacita dimaklumkan bahawa pihak Kelab Duta Rimba berhasrat untuk mengadakan satu program kesedaran alam sekitar bersama murid-murid Tahun 4 hingga Tahun 6 sekolah tuan.
  2. Butiran program adalah seperti berikut:
    Tarikh: 25 APRIL 2025 (Jumaat)
    Masa: 8.00 pagi hingga 1.00 tengah hari
    Tempat: Dewan Serbaguna Sekolah Kebangsaan Seri Budi
    Bayaran: Percuma
    Aktiviti: Pameran pendidikan, ceramah interaktif, dan kuiz alam sekitar.
  3. Sehubungan itu, kami memohon jasa baik pihak tuan untuk memberikan kebenaran pelaksanaan program ini di sekolah serta memaklumkan kepada ibu bapa murid berkaitan penyertaan anak mereka.
  4. Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan kepada saya di talian 016-3333534.

Sekian, terima kasih.

Yang menjalankan tugas,
(GANESAN S. SITTRAMBARAM)
Presiden Kelab Duta Rimba Kuala Lumpur


Contoh 2: Permohonan Cuti Sekolah

Nurul Izzah Binti Rahmat
No. 10, Jalan Damai
Taman Desa Harmoni
43200 Cheras, Selangor
Tarikh: 2 MEI 2025

Kepada,
Guru Besar
Sekolah Kebangsaan Taman Indah
43200 Cheras
Selangor Darul Ehsan

Tuan,
PERMOHONAN CUTI SEKOLAH BAGI TUJUAN KELUARGA

Dengan segala hormatnya saya, Nurul Izzah Binti Rahmat, ibu kepada murid bernama Aiman Danish Bin Mohd Faizal, Tahun 5 Arif, ingin memohon cuti sekolah bagi anak saya pada tarikh 6 hingga 8 Mei 2025.

  1. Permohonan ini dibuat kerana anak saya perlu mengikuti rombongan keluarga ke Kelantan bagi menghadiri majlis perkahwinan bapa saudara yang merupakan ahli keluarga terdekat.
  2. Saya memberikan jaminan bahawa anak saya akan menggantikan semula kerja sekolah yang tertinggal dan akan menghubungi guru kelas untuk mendapatkan bahan pembelajaran.
  3. Saya amat berharap pihak tuan dapat mempertimbangkan permohonan ini. Segala kerjasama amat saya hargai.

Sekian, terima kasih.

Yang benar,
(Nurul Izzah Binti Rahmat)
No. Telefon: 012-7894563


Itulah “Surat Rasmi Kepada Guru Besar“. Semoga dua contoh di atas dapat membantu sesiapa sahaja yang ingin menyampaikan permohonan atau makluman secara rasmi kepada pihak sekolah. Penulisan surat rasmi yang tepat dan tersusun bukan sahaja menunjukkan profesionalisme, tetapi juga memudahkan pihak sekolah memahami serta memproses permintaan dengan lebih lancar. Pastikan surat disertakan dengan maklumat yang lengkap, gaya bahasa yang sopan, dan ditandatangani oleh individu yang bertanggungjawab.