Contoh Surat Rasmi Aduan Kerosakan Jalan Raya

CIKGU ONLINE – Jom kita lihat “Contoh Surat Rasmi Aduan Kerosakan Jalan Raya“. Dalam kehidupan seharian, jalan raya yang rosak bukan sahaja mengganggu kelancaran perjalanan, malah ia juga boleh membahayakan keselamatan pengguna jalan raya. Tugas kita sebagai masyarakat adalah untuk memaklumkan kepada pihak yang bertanggungjawab bagi memastikan keselamatan bersama. Surat rasmi aduan adalah cara yang formal untuk menyampaikan masalah tersebut, supaya tindakan segera dapat diambil.

Setiap penduduk berhak untuk mendapat kemudahan yang selesa dan selamat, terutamanya berkaitan jalan raya yang digunakan setiap hari. Kerosakan yang dibiarkan berlarutan boleh mendatangkan masalah lebih besar. Oleh itu, dalam artikel ini, kami akan berkongsi contoh surat rasmi aduan mengenai kerosakan jalan raya yang boleh dijadikan rujukan.


Contoh Surat Rasmi
Aduan Kerosakan Jalan Raya


No. 11, Jalan Rampaisari 3A,
Taman Pinggiran Putera,
43200 Serdang,
Selangor.

6 Ogos 2009

Pengarah,
Jabatan Kerja,
Jalan Keramat 3,
43200 Serdang,
Selangor Darul Ehsan.

Tuan,

Masalah Kerosakan Jalan Raya

Merujuk perkara di atas, saya sebagai wakil penduduk taman ini ingin membuat aduan tentang masalah kerosakan jalan raya di taman ini. Masalah ini telah berlarutan hampir setahun lamanya dan tiada tindakan daripada pihak tuan hingga hari ini.

  1. Jalan menuju ke taman ini telah berlubang-lubang. Para pengguna jalan raya tidak berasa selesa kerana terpaksa memandu dengan berhati-hati. Malah, ada penduduk yang telah terjatuh akibat terlanggar lubang tersebut.
  2. Selain itu, berlakunya tanah runtuh di beberapa tempat di sepanjang jalan raya ini yang amat membahayakan para pengguna. Keadaan ini lebih berisiko pada waktu malam, kerana ia tidak disedari oleh pemandu.
  3. Keadaan jalan raya juga tidak rata, berbonggol-bonggol akibat daripada lori yang membawa tanah. Kenderaan penduduk banyak mengalami kerosakan, dan ini menyebabkan perasaan tidak puas hati di kalangan penduduk.
  4. Kawasan selekoh di jalan raya tersebut menjadi terlalu licin dan perlu diturap semula oleh pihak tuan. Banyak kemalangan telah berlaku di kawasan ini, dan kenderaan sering terbabas akibat gagal dikawal oleh pemandunya.
  5. Garis putih di tengah-tengah jalan raya sudah tidak kelihatan, kesan daripada kerosakan yang berlaku. Perkara ini perlu diatasi segera dengan membuat semula garis tersebut untuk kesenangan para pengguna jalan raya.

Sekian sahaja yang dapat saya maklumkan untuk pengetahuan pihak tuan. Langkah segera perlu dilakukan demi kebaikan para penduduk taman ini.

Sekian, terima kasih.

Yang menjalankan tugas,
(M.Fareez Haikal bin M. Shaifuddin)
Wakil Penduduk, Taman Pinggiran Putera


Itulah “Contoh Surat Rasmi Aduan Kerosakan Jalan Raya“. Semoga contoh surat rasmi ini dapat memberi panduan kepada anda dalam menyuarakan sebarang masalah berkaitan dengan infrastruktur awam. Kerjasama dan tindakan pantas daripada pihak berwajib amat penting untuk memastikan keselamatan dan keselesaan semua pengguna jalan raya. Dengan menyampaikan aduan secara formal, kita turut membantu pihak berkuasa dalam menangani masalah ini dengan lebih efektif.