CIKGU ONLINE – Jom kita lihat “Contoh Surat Rasmi Bawa Anak Pulang dari Asrama“. Dalam dunia pendidikan kini, komunikasi yang jelas dan formal antara ibu bapa dan pihak sekolah menjadi semakin penting. Salah satu cara untuk memastikan kelancaran urusan ialah melalui surat rasmi yang lengkap dan terperinci.
Kali ini, kita akan berkongsi satu contoh surat rasmi yang sesuai untuk memohon kebenaran membawa anak pulang dari asrama. Contoh ini boleh dijadikan panduan oleh ibu bapa yang memerlukan, terutamanya untuk urusan penting seperti temujanji doktor, majlis keluarga, atau perkara kecemasan. Pastikan setiap maklumat penting dimasukkan agar surat anda dapat diproses tanpa masalah.
Contoh Surat Rasmi
Bawa Anak Pulang dari Asrama
Ahmad Zamry Bin Mamat
No. 20, Jalan Sejahtera 2,
Taman Tempoyang Sejahtera,
27200 Kuala Lipis,
Pahang Darul Makmur.
22 Januari 2025
Tuan Pengetua,
Sekolah Menengah Agama Persekutuan Bentong,
Felda Mempaga,
28600 Karak,
Pahang Darul Makmur.
(U.P: Guru Penolong Kanan HEM)
Tuan,
MEMOHON KEBENARAN MEMBAWA PULANG ANAK DARI ASRAMA
Dengan segala hormatnya, perkara di atas adalah dirujuk.
- Sukacita dimaklumkan bahawa saya, seperti nama di atas, ingin memohon kebenaran untuk membawa pulang anak saya, Zulfa ‘Aliyah Binti Ahmad Zamry, pelajar Tingkatan 1 Ibnu Sina, dari asrama sekolah. Permohonan ini dibuat kerana anak saya mempunyai temujanji dengan Doktor Pakar Pergigian yang telah dijadualkan pada tarikh 25 Januari 2025. Bersama surat ini, saya lampirkan salinan surat temujanji tersebut sebagai rujukan pihak tuan.
- Untuk memudahkan perjalanan ke tempat temujanji tersebut, saya memohon kebenaran membawa pulang anak saya pada tarikh 24 Januari 2025, jam 5:00 petang. Saya berjanji akan memastikan anak saya kembali ke asrama mengikut masa yang ditetapkan setelah selesai urusan ini.
- Saya berharap agar pihak tuan dapat memberikan pertimbangan sewajarnya terhadap permohonan ini. Kerjasama dan perhatian daripada pihak tuan amatlah dihargai.
Sekian, terima kasih.
Yang benar,
…………………………………….
(AHMAD ZAMRY BIN MAMAT)
No. Tel: 017-9387481
Demikianlah “Contoh Surat Rasmi Bawa Anak Pulang dari Asrama” yang boleh dijadikan panduan oleh ibu bapa. Surat rasmi ini bukan sahaja membantu memperkukuh hubungan antara pihak sekolah dan ibu bapa, tetapi juga menunjukkan rasa hormat dan tanggungjawab dalam menguruskan hal-hal berkaitan pelajar. Pastikan surat ditulis dengan teliti, menggunakan bahasa yang sopan, serta melampirkan dokumen sokongan jika diperlukan. Semoga panduan ini memudahkan urusan anda!
